Friday, March 1, 2013

Mati Itu Pasti

masa minum teh ~*irjune*~ pada 3:20:00 PM
Assalamualaikum wbt


Dah lama nak buat entry ni tapi kadang-kadang apa yang dikarang di dalam hati tak mampu nak diluahkan secara realiti. Inilah yang terjadi bila hati dan otak tak sekata. Hati berkata lain, tapi otak pula memberi arahan yang sebaliknya. Maka inilah yang terjadi bila maksud tak kesampaian.

Mati itu pasti. Yes...itu janji Allah. Takkan dimungkiri. Walau sehebat mana ko jaga kesihatan, walau sehebat mana ko memegang status tinggi dan walau sehebat mana ko berusaha untuk merawat sakit yang ditanggung, jika sudah sampai janji itu, janji yang telah ko buat sebelum roh ko ditiup ke alam rahim, maka itulah yang akan kita lalui.

Ada orang yang sakit tenat, dijangka hanya mampu bertahan dalam tempoh yang singkat tapi dipanjangkan usia oleh-Nya. Ada pula yang sihat walafiat, tidak pernah sakit walau demam, tetapi dijemput Allah kerana sudah sampai janjinya. Ada yang dipermudahkan urusan ajalnya, ada yang disusahkan urusan ajalnya. Ada yang mati kerana sakit, ada yang mati kerana kemalangan, ada yang mati kerana keseronokkan dan ada juga yang mati tanpa apa-apa sebab. Ada yang mati ketika bayi, ada yang mati ketika muda dan ada yang mati ketika tua.

Paling istimewa bila mati ialah bila kematian itu cukup mudah. Ada yang mati dalam tidur, ada yang mati ketika beribadat dan ada yang mati ketika menunggu waktu sahur. Inilah saat kematian yang sangat mudah dan sangat-sangat diidamkan oleh orang yang beriman.

Kita???? Oh! paling senang...Aku???? Bagaimanakah cara kematian aku nanti? Adakah kerana sakit, adakah kerana usia yang sudah tua atau adakah kerana kemalangan. 

Dalam minggu ni aku ditemukan dengan dua kematian. Walaupun kematian tu tidak membabitkan saudara mara aku, tapi sesungguhnya mereka itu tetap saudara Islam aku. Kematian pertama adalah melibatkan anak kepada pakcik jiran aku. Kak Yati (arwah), adalah anak sulung Pakcik Dol. Diberinya ujian kesakitan leukimia (kanser darah) selama 10 bulan. Dan akhirnya beliau dijemput Allah pada hari Selasa hari tu. Masih lagi muda, tetapi itulah janji Allah. Kematian itu tidak mengenal usia. Alhamdulillah, tergambar ketenangan diwajah ibu dan bapa Kak Yati tanda merelakan pemergian anak perempuan tunggal mereka. 

Dan kematian kedua adalah melibatkan kawan baik adik bongsu aku, Aniq (arwah). Baru sahaja aku mendapat tahu sebentar tadi bila mak aku call. Terkejut dan sedih. Aniq meninggal kerana kemalangan. Aku kenal Aniq dari beliau kecil. Sama-sama bermain dan bersekolah dengan adik bongsu aku. Selepas PMR mereka berpisah bila adik aku kekal bersekolah di kampung manakala Aniq pula meneruskan sekolah di Ipoh. Walaupun begitu persahabatan mereka kekal.Selain Aniq, dua orang kawan baik adik aku yang aku anggap seperti adik aku sendiri ialah Fadli dan juga Riduan. Umur Aniq baru mencecah 18 tahun. Sedang menunggu keputusan SPM. Mudakan. Tapi janji Allah pasti. Tiada delay-delay. Tak boleh nak elak walau sesaat.


Kadang-kadang aku terfikir, bagaimanakah cara kematian aku nanti. Bilakah masa aku akan dijemput oleh-Nya. Sempatkah untuk aku berbakti kepada kedua ibu bapa ku. Sempatkah aku melihat kejayaan semua adik-adikku. Atau sempatkah aku untuk merasa nikmatnya menjadi seorang isteri kepada seorang suami yang soleh. Atau sempatkah aku bertaubat daripada semua dosa-dosa yang telah aku lakukan. Atau sempatkah aku untuk terus mengumpul bekalan untuk berjumpa Maha Pencipta ku.

Bila memikirkan semua tu kadang-kadang gerun juga dihati, tapi masih lagi tetap lalai dalam melakukan ibadah kepada-Nya. Ya Allah....susahnya mendidik hati ini.

Aku selalu berdoa kepada Allah, semoga dipermudahkan kematian ku nanti. Aku selalu berdoa semoga aku sempat membahagiakan kedua ibu bapa ku. Aku selalu berdoa semoga aku sempat melihat kejayaan adik-adikku. Dan aku selalu berdoa semoga aku diberi kesempatan dan keizinan untuk menjadi isteri dan ibu kepada khalifah bumi ini.

Aku juga selalu berdoa semoga kematian aku nanti dalam keadaan aku adalah seorang Islam. Aku selalu berdoa semoga kematian aku adalah ketika aku didalam wudhu. Aku selalu berdoa semoga kematian aku adalah ketika aku sujud pada Pencipta ku. Dan aku selalu berdoa semoga kematian aku ketika aku di Tanah Haram. Indahnya kematian jika aku mendapat semua yang aku idamkan ini.

Mati itu pasti. Mati itu adalah matlamat kehidupan seorang insan. Tiada siapa yang dapat mengelak daripada kematian kerana itu adalah hak Allah...rahsia Allah.

Semoga aku menjadi antara insan yang terpilih untuk mengetahui saat kematian aku nanti. Insya Allah.

Amin

Nota_jari: Semoga Allah mencucuri rahmat keatas Kak Yati dan Aniq.

0 uncang teh :

 

When Ijun Write Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea