Wednesday, March 26, 2014

RIP: Takziah MH370

masa minum teh ~*irjune*~ pada 11:49:00 AM
Assalamualaikum wbt

Malam semalam hampir terjawablah teka-teki kehilangan MH370. Tiada apa yang mampu dibicarakan. Pernyataan ringkas tapi tegas yang dikeluarkan oleh PM menoktahkan segalanya. Lautan Hindi telah menjadi tempat bersemadinya MH370. Segala harapan keluarga khususnya dan rakyat Malaysia amnya hancur berkecai. Hanya linangan air mata mengiringi setiap patah perkataan dari PM.
Jauh perjalanan MH370 yang sepatutnya hanya melintasi Laut China Selatan untuk ke Beijing, tetapi berpatah balik dan terus melencong ke Laut Andaman dan seterusnya Lautan Hindi di selatan bumi. Pelik bukan. Tapi itulah kehendak Yang Maha Esa.

Sebagai seorang Islam, kita patut menerima ini sebagai qada dan qadar. Ini bukan takdir kerana aku percaya seluruh krew MH370 berusaha untuk mengelakkan tragedi ini. Ini juga bukan takdir kerana aku percaya krew teknikal juga telah berusaha memastikan MH370 berada dalam keadaan yang baik. Ini juga bukan takdir kerana pihak MAS juga telah memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk para penumpangnya. Ini adalah qada dan qadar dari Allah swt. Hanya Allah sahaja yang tahu rahsia mengapa kejadian ini berlaku. 

Kita fikir secara positif. Lupakan seketika anutan politik kita yang berbeza. Lupakan seketika taraf dan darjat kita dibumi Allah ini. Kita bersatu sebagai Rakyat Malaysia. Memberi sokongan kepada seluruh ahli keluarga penumpang dan krew MH370. Memberi sokongan kepada Kerajaan Malaysia untuk terus menyelesaikan misteri MH370 ini. Memberi sokongan kepada seluruh warga kerja MAS untuk terus berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik. Dan memberikan sokongan kepada diri kita sendiri untuk percaya bahawa ini adalah kuasa Allah.

Setiap kejadian ada hikmahnya. Betapa kita menyayangi mereka, tetapi mereka bukan milik kita. Mereka milik Allah dan Allah menghendaki mereka kembali kepada yang berhak kerana Allah lebih menyayangi mereka.

Al Fatihah untuk mangsa MH370 yang beragama Islam dan ucapan takziah untuk mangsa yang bukan Islam. Semoga anda terus tabah dan redha melepaskan mereka yang tersayang. 
MH370...terima kasih atas perkhidmatan anda selama lebih 10 tahun ini. Selamat malam MH370. Bersemadilah anda dengan tenang di dunia sana.

#Gambar diambil daripada FB kawan-kawan

0 uncang teh :

 

When Ijun Write Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea